Monday, February 28, 2011

DOA BELAJAR



Sebagai pelajar amalan membaca doa sebelum memulakan sesi pembelajaran adalah satu kebaikan buat diri sendiri. Saya sendiri meminta pelajar membaca doa sebelum memulakan pembelajaran. Walaupun ada di antara pelajar saya yang memperlekehkan bacaan doa dengan tidak memberikan perhatian sepenuhnya atas alasan saya cuma guru bahasa Melayu dan membuatkan hati saya terbakar menahan kesabaran sewaktu bacaan doa namun itu sudah menjadi amalan saya untuk semua kelas yang saya mengajar. Yang nakal memang kena sepiat dua. Biasalah budak-budak.

Jika kamu ingin berjaya di dunia dan di akhirat kamu perlu belajar keduanya.

Thursday, February 24, 2011

sajak : kita

Kehidupan kita penuh dengan dugaan
kadangkala berada di atas
kadangkala merundum jatuh ke bawah
itulah lumrah kehidupan.

Kehidupan alam yang begitu luas
amat sukar untuk kita fahami dan mengerti
cukuplah apa yang kita ketahui
dan kita sama-sama memahami.

Persahabatan yang kita bina tetap kukuh
semangat kita berjuang tetap utuh
agar janji yang kita persetujui
akan kita tunaikan satu hari nanti.



Sajak ini hasil penulisan saya di belakang buku nota lengkap sejarah Malaysia STPM pada tahun 2002. Lama bukan, sudah berusia 9 tahun. Iniah hobi saya ketika zaman sekolah namun tidak semua sajak yang saya tulis masih saya simpan kerana saya tidak tahu mana perginya hasil karya saya sendiri. Mujur juga saya suka untuk memenuhkan ruang kosong buku sekolah saya dengan sajak picisan ini sebagai kenangan yang terindah.Seingat saya, sajak ini saya tujukan buat dua orang rakan karib yang meninggalkan saya seorang diri mengambil STPM. Seorang ke UITM Melaka dan seorang lagi ke kolej PTPL.

Tuesday, February 22, 2011

BAB 4 SUKAR MEMBAWA TUAH : DUGAAN UNTUK ADIT

Ringkasan bab 4


Sebelum ke pekan, Pak Katan telah memberitahu Adit bahawa mereka tidak perlu mencari hasil hutan pada hari ini.Adit menjual hasil hutan yang dikutip tempoh hari kepada Ah Tong yang sentiasa membeli hasil hutan orang Asli Bukit Lokan. Kemudian, Adit ke sungai untuk mengangkat belat* (belat ialah alat untuk menangkap ikan). Pak Katan pulang dari pekan dan memanggil Adit dan memberitahunya bahawa Adit telah di daftarkan ke sekolah tempat Akeh* belajar. Baru-baru ini Adit telah menyatakan hasrat untuk bersekolah namun dibantah oleh ayahnya yang ingin Adit mewarisi pekerjaan nenek moyangnya. Pak Katan akhirnya akur dengan permintaan anak lelakinya itu. Adit merasa amat gembira dengan persetujuaan ayahnya untuk bersekolah. Namun Adit sedih tidak dapat tinggal di asrama seperti Akeh dan masalah itu telah menghalangnya bersekolah lagi.

Adit ke sungai untuk menenangkan fikirannya. Tijah memerhatikan Adit yang sedang murung lalu bertanya masalah yang sedang dihadapi Adit. Tijah lebih tua dari Adit. Adit memberitahu Tijah bahawa ayahnya telah bersetuju untuk membenarkan dia bersekolah namun walaupun dia dapat ke sekolah tetapi tiada kekosongan asrama buatnya. Ayahnya terpaksa mencari penyelesaian masalah Adit dan tidak akan mengalah. Tijah yang mendengar masalah Adit menyokong usaha Adit yang ingin bersekolah. Tijah akan meminta ayahnya membantu Adit dan keluarganya kerana ayah Tijah merupakan ketua kampung. Kata-kata Tijah menenangkan hati Adit yang sedang bersedih.

Pada malamnya, hujan turun dengan lebat dan merisaukan Pak Katan untuk pergi ke hutan mencari rezeki pada hari esok.

Saturday, February 19, 2011

Sajak Hari Akhir Persekolahan

Ada suara hati
yang tersisip
di celah buku-buku
ada mata batin yang menyintip
pesan para guru
ada air jernih yang tumpah
dalam dakapan perpisahan
ada tangan nakal
yang mengukir;
merdeka, kita ke takah dewasa!


AHMAD BAKHTIAR ABDUL MUTALIB



Untuk sajak di atas terdapat gaya bahasa/unsur-unsur keindahan yang wujud.Namun saya cuma akan menerangkan tentang PERSONAFIKASI.


PERSONAFIKASI bermaksud memasukkan unsur manusia ke dalam benda bukan hidup. Contohnya : pokok kelapa melambai-lambai (pokok kelapa di tiup angin)


Cuba lihat pada sajak;

1. PERSONAFIKASI pada 'dakapan perpisahan' (suasana berpisah)


Memang sukar di jelaskan namun kamu perlu cuba memahaminya. Teruskan usaha

Friday, February 18, 2011

cerpen kasut kelopak jantung

Cerpen merupakan singkatan kepada cerita pendek. Sebelum kamu membaca ruangan ini eloklah kamu baca dahulu dari awal cerpen ini sepenuhnya dari awal sampai habis. Fahami dahulu kisah budak lelaki bernama Ahmad ini bersama gurunya Cikgu Harun. Cerpen ini sebenarnaya mudah difahami dan menyentuh perasaan jika kamu menghayatinya. Tidakkah kamu merasa simpati saat Cikgu Harun mengarahkan Ahmad memakai kelopak jantung pisang yang diikat dengan tali rafia kerana ingin menghukum Ahmad yang sudah tiga minggu ke sekolah berkaki ayam atas alasan selipar jepunnya putus.

Jika kamu menjadi Ahmad sudah semestinya kamu malu dengan hukuman itu bukan. Namun Ahmad akur dengan hukuman itu dan kerana malu dengan peristiwa itu dia mula tidak datang ke sekolah.Jangan kamu menganggap Cikgu Harun itu seorang yang suka menghukum murid tetapi dia tidak tahu situasi sebenar bahawa Ahmad adalah pelajar yang miskin dan tinggal dengan ibunya tanpa ayah dalam keadaan miskin. Bila Ahmad tidak ke sekolah selepas dihukum memakai kasut kelopak jantung barulah Cikgu Harun dapat merasakan ada sesuatu yang di sembunyikan oleh Ahmad darinya.

Cikgu Harun merasa bersalah menghukum Ahmad dan bertambah risau apabila Ahmad tidak datang ke sekolah. Atas rasa bersalah, Cikgu Harun pergi ke rumah Ahmad berjumpa ibunya yang telah tua dan uzur. Melihat keadaan hidup Ahmad dan ibunya barulah Cikgu Harun sedar bahawa Ahmad seorang yang amat cekal dalam menuntut ilmu walaupun hidup dalam kemiskinan. Paling menyedihkan hati guru ini apabila melihat Ahmad pulang ke rumah selepas memetik cili dan dikakinya memakai kasut kelopak jantung. Ahmad yang menyedari kehadiran gurunya meminta maaf kerana dia belum mampu ke sekolah dengan kasut yang baru. Cikgu Harun yang begitu bersimpati dengan nasib Ahmad ke pekan membelikan ahmad baju dan kasut sekolah yang baru.

Itulah peristiwa 30 tahun lalu yang masih segar dalam ingatan Cikgu Harun sewaktu mula mengajar di sebuah kawasan pedalaman. Kini, setiap kali menjelang Hari Guru Cikgu Harun menerima bungkusan hadiah sepasang kasut tanpa pengirim dari muridnya. Ahmad kini sudah bergelar pengeluar kasut yang terkenal di bandar.


Saya sudah memberikan sinopsis atau ringkasan cerpen ini. Plot cerpen adalah tidak mengikut kronologi (tidak mengikut susunan masa) kerana adanya teknik imbas kembali sewaktu di awal cerpen.


Apa kata cuba kamu senaraikan lima watak dan perwatakan Ahmad dan Cikgu Harun?

Contohnya:

Watak Ahmad : Cikgu Harun
1. Ahmad merupakan pelajar tahun 3 dan Cikgu Harun merupakan guru muda di sekolah Ahmad

Perwatakan Ahmad : Cikgu Harun
1. Ahmad merupakan seorang pelajar yang tabah dan Cikgu harun merupakan seorang guru yang tegas.

Thursday, February 17, 2011

Atas Permintaan : plot dalam komponen sastera

Plot merupakan urutan peristiwa di dalam setiap cerita sama ada secara kronologi (mengikut turutan) atau tidak kronologi (tidak mengikut turutan).Plot merupakan sinopsis atau ringkasan cerita yang telah di susun secara berperingkat bagi kemudahan pelajar memahami dan mengingatinya.

Plot terbahagi kepada 4 bahagian

1. Permulaan : Permulaan peristiwa

2.Perkembangan : Bagaimana peristiwa berkembang

3. Klimaks/Puncak : Bahagian puncak peristiwa

4. Peleraian : Kesudahan peristiwa



Pelajar perlu memahami dahulu setiap bahagian. Jika kamu tidak faham, cuba bayangkan diri kamu dari saat kamu bayi (permulaan), remaja (perkembangan),dewasa(klimaks) akhirnya akan tua (peleraian).


Adakah kamu faham?


Ok, cuba kamu membuat plot bagi novel yang kamu pelajari.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...