Monday, April 25, 2011

Usik-usik

Saturday, April 16, 2011

Pantun Budi

Buat anak bangsa dan pembaca blog Bahasa Melayu ini, terima kasih dari saya.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Bunga cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.


Anak beruk di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari;
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.

Monday, April 11, 2011

Ringkasan memerlukan Penanda Wacana


Apa itu Penanda wacana?

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi merangkai ayat untuk melanjutkan sesuatu maklumat. Kegagalan dalam penggunaan penanda wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh wacana tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap.

Penanda wacana yang sesuai akan memberikan markah yang tinggi bagi sesebuah ringkasan. Jangan sesekali mengambil mudah jika kamu ingin mendapat 20/20.

Antara penanda wacana ialah:

Di samping itu
Seterusnya,
Selain daripada itu,
Selain itu,
Oleh itu,
Akhir sekali.

Insyaallah jika cikgu mempunyai masa terluang, cikgu akan mencari satu contoh karangan ringkasan dan cikgu akan gelapkan (bold) penanda wacana yang terkandung di dalam ringkasan itu sebagai satu contoh yang lebih jelas untuk kamu sebagai pelajar menengah rendah memahaminya. Selamat membaca dan mermartabatkan Bahasa Melayu.

Tuesday, April 5, 2011

Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah



Ada kepada suatu hari,
Sakit saudagar laki isteri,
Adalah kiranya tujuh hari,
Tidak bergerak kanan dan kiri.

Saudagar tahu akan dirinya,
Hampirlah mati kepada rasanya,
Lalulah memanggil akan anaknya,
Dicium kepala dengan tangisnya.

Katanya wahai cahaya mataku,
Tinggallah tuan buah hatiku,
Hampirlah mati gerangan aku,
Baiklah tuan tingkah dan laku.

Serta harta aku tinggalkan,
Tuan seorang yang menyukakan,
Sampai habis semua diterimakan,
Faedahnya akan diberikan.

Jikalau tidak anakku berakal,
Harta pusaka di manakan kekal,
Habis harta badan tinggal,
Laksana perahu bersauh tunggal.

Kerana harta tiada berguna,
Jikalau tidak akan sempurna,
Sekalian itu habislah fana,
Hanyalah tinggal badan merana.

Budi dan bahasa janganlah lupa,
Muliakan olehmu ibu dan bapa,
Mana yang datang padamu berjumpa,
Janganlah lambat tuan menyapa.

Kerana adat orang berbeza,
Tiada memandang harta dan benda,
Tegur dan sapa itu yang ada,
Itulah penambah di dalamnya dada.


Dipetik dari antologi Kasut Kelopak Jantung.

Penat juga cikgu menaip, demimu anak-anak bangsa. Hari ini sebelum cikgu membuat penerangan mengenai Asonansi, Aliterasi dan Rima , sebagai pelajar lagukan dahulu syair di atas. Saya faham kamu malu melagukan syair di kelas kerana ramai yang mendengar tetapi itulah kaedah belajar yang menyeronokkan.

Syair merupakan puisi tradisional.

Asonansi merupakan pengulangan a,e,i,o dan u (huruf vokal) manakala Aliterasi ialah pengulangan selain a,e,i,o dan u (huruf konsonan).

Buat pengetahuan kamu, asonansi dan aliterasi amat mudah untuk kamu fahami.

Contoh asonansi dan aliterasi dari rangkap pertama;

Ada kepada suatu hari,

Lihat huruf a yang digelapkan dalam sebaris perkataan, ini bermaksud kamu bertemu dengan asonansi.

Sakit saudagar laki isteri,

Lihat, perkataan isteri tiada huruf a, maka baris kedua tidak memiliki unsur bunyi asonansi.

Adalah kiranya tujuh hari,

Lihat, perkataan tujuh tiada huruf a, maka baris ketiga juga tidak memiliki unsur bunyi asonansi.

Tidak bergerak kanan dan kiri.

Lihat, setiap perkataan dalam baris ke empat memiliki huruf k, maka beris keempat memiliki unsur aliterasi.

Adakah kamu memahaminya?

Asonansi tidak semestinya dari huruf a sahaja tetapi dari semua hruf vokal (a,e,i,o dan u).

Aliterasi juga tidak semestinya dari huruf k tetapi dari semua huruf konsonan (b,c,d,f,g,h,j,k,l,m,n,o,p,q,r,s,t,v,w,x,y, dan z).


Rima pula kamu boleh lihat bagi rangkap kedua sebagai contoh;


Saudagar tahu akan dirinya,
Hampirlah mati kepada rasanya,
Lalulah memanggil akan anaknya,
Dicium kepala dengan tangisnya.

Setiap baris akhir dalam rangkap kedua menunjukkan a,a,a dan a. Maka rima akhir bagi rangkap kedua ialah a,a,a dan a. Begitu juga bagi rangkap lain untuk kamu cari rimanya.


Lihat rangkap kelima;

Jikalau tidak anakku berakal,
Harta pusaka di manakan kekal,
Habis harta badan tinggal,
Laksana perahu bersauh tunggal.

Rimanya l,l,l dan l bukan. Maka, jika dalam pilihan jawapan tiada l,l,l dan l, kamu kena peka bahawa soalan sengaja mengelirukan kamu. Kamu hanya perlu pilih jawapan yang lebih kurang sama dengannya iaitu a,a,a dan a. Atau b,b,b dan b dan sebagainya.


Jika kamu masih kurang faham email kepada cikgu di azuraonline2u@yahoo.com. Ingat, cikgu cuma membantu kamu, kamulah penentu kejayaan buat diri kamu.

Sekadar mengingatkan.

Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Saturday, April 2, 2011

Sajak Di kota kecilku dari antologi Kerusi

Di sini aku pulang
tempat bersekolah dan dibesarkan
lewat padang Speedy
terus ke Durian Sebatang
semuanya kini terasakecil
mengimbau rindu dan kenangan.

Di sini anak belasan tahun
mulai mengenal cinta dan ilmu
pengorbanan ayah dan emak
keakraban teman dan pergelutan
detik itu
mengambang bagai mimpi
sewaktu kulewati kota kecilku ini.


Sesaat tiba di muka sekolah
telah lama kutinggalkan
kini sudah berubah
terasa sepi
suara guru yang memberikan markah
pada pangkat pertama
buat si anak desa
dan ayahku tak berkata bangga.

Di sinilah anak desa
mengenal dunia
di kota kecilnya
padang Speedy
dan Durian Sebatang
meski berubah pandangan
mengimbau rindu dan kenangan
sayang.

Antologi Kerusi (2000-2010)
Sebagai tanda ingatan dan penghargaan dari saya pelajar tingkatan 5 pada 2001 yang mempelajarinya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...