Tuesday, April 5, 2011

Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah



Ada kepada suatu hari,
Sakit saudagar laki isteri,
Adalah kiranya tujuh hari,
Tidak bergerak kanan dan kiri.

Saudagar tahu akan dirinya,
Hampirlah mati kepada rasanya,
Lalulah memanggil akan anaknya,
Dicium kepala dengan tangisnya.

Katanya wahai cahaya mataku,
Tinggallah tuan buah hatiku,
Hampirlah mati gerangan aku,
Baiklah tuan tingkah dan laku.

Serta harta aku tinggalkan,
Tuan seorang yang menyukakan,
Sampai habis semua diterimakan,
Faedahnya akan diberikan.

Jikalau tidak anakku berakal,
Harta pusaka di manakan kekal,
Habis harta badan tinggal,
Laksana perahu bersauh tunggal.

Kerana harta tiada berguna,
Jikalau tidak akan sempurna,
Sekalian itu habislah fana,
Hanyalah tinggal badan merana.

Budi dan bahasa janganlah lupa,
Muliakan olehmu ibu dan bapa,
Mana yang datang padamu berjumpa,
Janganlah lambat tuan menyapa.

Kerana adat orang berbeza,
Tiada memandang harta dan benda,
Tegur dan sapa itu yang ada,
Itulah penambah di dalamnya dada.


Dipetik dari antologi Kasut Kelopak Jantung.

Penat juga cikgu menaip, demimu anak-anak bangsa. Hari ini sebelum cikgu membuat penerangan mengenai Asonansi, Aliterasi dan Rima , sebagai pelajar lagukan dahulu syair di atas. Saya faham kamu malu melagukan syair di kelas kerana ramai yang mendengar tetapi itulah kaedah belajar yang menyeronokkan.

Syair merupakan puisi tradisional.

Asonansi merupakan pengulangan a,e,i,o dan u (huruf vokal) manakala Aliterasi ialah pengulangan selain a,e,i,o dan u (huruf konsonan).

Buat pengetahuan kamu, asonansi dan aliterasi amat mudah untuk kamu fahami.

Contoh asonansi dan aliterasi dari rangkap pertama;

Ada kepada suatu hari,

Lihat huruf a yang digelapkan dalam sebaris perkataan, ini bermaksud kamu bertemu dengan asonansi.

Sakit saudagar laki isteri,

Lihat, perkataan isteri tiada huruf a, maka baris kedua tidak memiliki unsur bunyi asonansi.

Adalah kiranya tujuh hari,

Lihat, perkataan tujuh tiada huruf a, maka baris ketiga juga tidak memiliki unsur bunyi asonansi.

Tidak bergerak kanan dan kiri.

Lihat, setiap perkataan dalam baris ke empat memiliki huruf k, maka beris keempat memiliki unsur aliterasi.

Adakah kamu memahaminya?

Asonansi tidak semestinya dari huruf a sahaja tetapi dari semua hruf vokal (a,e,i,o dan u).

Aliterasi juga tidak semestinya dari huruf k tetapi dari semua huruf konsonan (b,c,d,f,g,h,j,k,l,m,n,o,p,q,r,s,t,v,w,x,y, dan z).


Rima pula kamu boleh lihat bagi rangkap kedua sebagai contoh;


Saudagar tahu akan dirinya,
Hampirlah mati kepada rasanya,
Lalulah memanggil akan anaknya,
Dicium kepala dengan tangisnya.

Setiap baris akhir dalam rangkap kedua menunjukkan a,a,a dan a. Maka rima akhir bagi rangkap kedua ialah a,a,a dan a. Begitu juga bagi rangkap lain untuk kamu cari rimanya.


Lihat rangkap kelima;

Jikalau tidak anakku berakal,
Harta pusaka di manakan kekal,
Habis harta badan tinggal,
Laksana perahu bersauh tunggal.

Rimanya l,l,l dan l bukan. Maka, jika dalam pilihan jawapan tiada l,l,l dan l, kamu kena peka bahawa soalan sengaja mengelirukan kamu. Kamu hanya perlu pilih jawapan yang lebih kurang sama dengannya iaitu a,a,a dan a. Atau b,b,b dan b dan sebagainya.


Jika kamu masih kurang faham email kepada cikgu di azuraonline2u@yahoo.com. Ingat, cikgu cuma membantu kamu, kamulah penentu kejayaan buat diri kamu.

Sekadar mengingatkan.

Buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan,
saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...