Wednesday, March 30, 2011

BAB 6 SUKAR MEMBAWA TUAH ADIT MULA KE SEKOLAH




Di dalam bab 5 iaitu Riak ceria buat Adit pada halaman yang lepas cikgu sudah memberikan sinopsis bagi bab itu. Adakah kamu telah membaca dan memahaminya sebelum kita melangkah ke bab 6 iaitu Adit mula ke sekolah.


Adit gembira selepas mendapat tahu impian untuk ke sekolah telah terbentang buatnya. Dia mengalirkan air mata kegembiraan. Esoknya, Pak Katan membawa Adit ke sekolah bagi menguruskan pendaftaran belajar di sekolah. Kemudian, Pak Katan membeli barangan keperluan sekolah buat Adit.

Pulang dari pekan, Adit ke rumah Tijah yang tua beberapa tahun darinya. Adit menceritakan kepada Tijah bahawa impiannya untuk ke sekolah terlaksana atas bantuan Ah Tong yang sudi menghantar dan mengambilnya dari sekolah menaiki lori balak tauke Cina itu. Lusa, Adit akan mula bersekolah. Tijah turut merasa gembira.

Selepas berjumpa Tijah, Adit pulang ke rumah dan memakai baju seragam sekolah yang telah di beli di pekan tadi sambil bergaya di hadapan ibu bapanya. Ibu dan ayah Adit merasa amat bangga dan akan berusaha untuk menyekolahkannya. Pak Katan juga telah mendapat pekerjaan atas pertolongan Ah Tong yang memberinya kerja sebagai pembalak. Adit memeluk ayahnya kerana merasa sangat gembira.

Adit pergi mengangkat belat (sejenis sangkar seperti bubu) di sungai buat kali terakhir sebelum bersekolah. Selepas ini, adiknya Udin akan mengambil alih tugasan memasang dan mengangkat belat. Malam itu, sebagai bapa, Pak Katan menasihati Adit supaya menjaga diri di sekolah.

Sunday, March 27, 2011

Latar tempat bagi cerpen Trauma Embah


Saya sudah memberikan serba sedikit penerangan mengenai watak dan perwatakan yang digambarkan di dalam cerpen "Trauma Embah" nurkilan Haryati Abu Nasir. Kini soalan buat kamu. Hanya tiga soalan.

Berikan dua contoh peristiwa bagi tiga latar tempat yang di berikan;

a) Rumah Ibu dan ayah
b) Rumah Embah dan arwah datuk

Mudah bukan, kamu hanya perlu berfikir dan mencari jawapan.

Thursday, March 24, 2011

Trauma Embah



Trauma Embah adalah salah satu cerpen yang terdapat di dalam Antologi Kasut Kelopak Jantung.


Siapakah Embah?
Embah merupakan nenek kepada "aku".

Siapakah "aku"
Orang yang menceritakan kisah ini


Watak Embah

1. Ibu kepada ibuku
2. Usia 80 tahun
3. Berketurunan Jawa
4. Berasal dari Johor
5. Isteri ketiga datuk

Perwatakan Embah

1. Seorang isteri yang cekal dalam mengharungi rumahtangga
2. Seorang ibu yang penyanyang terhadap anak-anak dan anak tirinya
3. Seorang nenek yang mengalami trauma di hari tuanya akibat kisah silam iaitu kehilangan dua anak lelaki dalam minggu yang sama.
4. Seorang yang telah berusia dan hilang ingatan/nyanyuk.



Watak ibu
1. Ibu "aku"
2. Isteri kepada ayah
3. Anak kepada Embah
4. Wanita dipertengahan usia
5. Bersekolah setakat darjah enam
6. Peniaga jualan langsung


Perwatakan ibu
1. Seorang ibu yang penyayang terhadap anak-anak
2. seorang anak yang sanggup berkorban menjaga ibunya yang sudah uzur
3. Seorang yang bijak menguruskan kewangan keluarga
4. Seorang yang mementingkan kesihatan diri dalam soal pemakanan


Watak aku
1. Aku ialah pencerita dalam cerpen ini
2. Aku adalah anak perempuan ibu dan ayah
3. aku berusia 24 tahun (datuk meninggal ketika usiaku 6 tahun dan kini sudah 18 tahun datuk tiada)
4. Cucu kepada embah


Perwatakan "aku"
1. Seorang yang begitu mengambil berat soal keluarga
2. seorang anak yang menghargai jasa ibu menjaga embah
3. seorang anak yang sangat sayangkan keluarga



Pesanan cikgu, bacalah cerpen ini dari awal hingga akhir, cuba kamu bayangkan diri kamu sebagai "aku". Lihat dari awal kisah embah ini yang pada mulanya dipelihara oleh anak bongsunya iaitu makcik yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur ini. Makcik telah kehilangan suami secara mengejut dan perlu menyara anak-anak tanpa suami. Makcik telah membawa embah pulang ke kampung dan dipelihara ibu. Ibu hanya seorang peniaga jualan langsung yang bersuamikan ayah yang sudah bersara dari pekerjaan sebagai guru.

Embah sudah berusia lapan puluh tahun dan kelihatan sudah hilang ingatan kerana keuzurannya. Embah sewaktu dijaga ibu sering meracau dan bersedih kerana mengenang dua orang anak lelakinya yang meninggal dunia dalam minggu yang sama. Anak lelaki embah yang berusia tiga bulan telah meninggal kerana demam panas dan yang berusia dua tahun terjatuh di dalam kolam belakang rumah. Namun, arwah datuk tidak membenarkan embah bersedih atas kematian anak-anaknya. Embah terpaksa meneruskan hidup dalam keadaan tertekan. Kini embah sudah uzur dan berkerusi roda, dijaga rapi oleh ibuku tanpa sebarang rungutan. Ayahlah penyokong ibu yang setia. Aku ingin menjadi seperti ibu dan aku berazam menjadi wanita sebaik ibu.


Betapa "aku" begitu menyanjungi ibunya.

Jika kamu kurang faham tanya sahaja soalan dan cikgu akan terangkan. Selamat belajar.

Tuesday, March 22, 2011

Jawapan Pantun Empat Kerat (Teka-teki)



Belayar perahu dari Berandan,
Menuju arah selat Melaka,
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka?

Jawapan : Ikan Pari


Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan,
Cubalah cari wahai saudara,
Makin diisi makin ringan.

Jawapan : Belon


Hari-hari ke rumah Cik Hitam,
Melihat orang memotong tebu,
Apa binatang darahnya hitam,
Janggut delapan, tulangnya satu?

Jawapan: Sotong


Ambil betik potongkan pisau,
Buah masak pokoknya rendah,
Kecil-kecil berbaju hijau,
Sudah besar berbaju merah.

Jawapan: Cili

Kalau tuan bawa keladi,
Bawa juga si pucuk rebung;
Kalau tuan bijak bestari,
Apa dia tanduk di hidung?

Jawapan : Badak Sumbu

Friday, March 18, 2011

Pantun Empat Kerat (Teka Teki)




Belayar perahu dari Berandan,
Menuju arah selat Melaka,
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka?

Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan,
Cubalah cari wahai saudara,
Makin diisi makin ringan.

Hari-hari ke rumah Cik Hitam,
Melihat orang memotong tebu,
Apa binatang darahnya hitam,
Janggut delapan, tulangnya satu?


Ambil betik potongkan pisau,
Buah masak pokoknya rendah,
Kecil-kecil berbaju hijau,
Sudah besar berbaju merah.

Kalau tuan bawa keladi,
Bawa juga si pucuk rebung;
Kalau tuan bijak bestari,
Apa dia tanduk di hidung?




Tugas kamu kali ini hanya mencari jawapan yang sesuai bagi setiap rangkap. Selamat berfikir.

Monday, March 14, 2011

Manfaatkan cuti penggal sekolah



Selamat bercuti sekolah bagi kamu yang bergelar pelajar. Gunakan cuti seminggu ini dengan baik dan jangan sesekali lupa untuk merindui cikgu-cikgu di sekolah yang memberi kamu ilmu. Lebih penting lagi jangan sesekali lupa menyiapkan kerja sekolah. Selamat bercuti dan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sunday, March 13, 2011

Latar masyarakat bagi drama Surat untuk Ina dalam antologi kasut kelopak jantung





Drama merupakan salah satu kajian teks bagi setiap buku antologi sekolah menengah bagi melengkapkan komponen sastera. Drama bertajuk Surat untuk Ina ini adalah salah satu drama yang terkandung di dalam Antologi kasut kelopak jantung. Surat untuk Ina adalah hasil nurkilan saudara Amiruddin Ali.

Secara ringkas drama ini mengisahkan tentang seorang remaja lelaki bernama Zali yang meminati seorang pelajar perempuan di sekolahnya yang bernama Zalina.


Latar masyarakat yang pertama ialah masyarakat dari golongan remaja sekolah menengah yang sudah mula tertarik untuk meminati seseorang. Hal ini dapat ditegaskan apabila rakan baik Zali iaitu Badar dan Jais melihat perubahan diri rakan mereka iaitu Zali yang meminati rakan sekolah yang juga seorang pegawas perempuan bernama Zalina. Sebagai gologan remaja, semestinya kisah seperti ini berlaku dalam kalangan remaja seusia Zali yang masih bersekolah.

Latar masyarakat yang kedua ialah gologan guru yang adil dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pelajar. Kisah ini dapat dilihat apabila Cikgu Halil menyelesaikan permasalahan remaja ini dengan adil. Walaupun Zalina telah mengadu mengenai surat tersebut, Cikgu Halil tidak mengunakan kuasanya sebagai guru disiplin untuk menghukum Zali tetapi meminta Zali mengakui perbuatan setelah benar-benar terbukti surat itu ditulis oleh Zali.


Secara logiknya, drama ini mengisahkan latar masyarakat pada zaman persekolahan dimana guru sebagai sumber ilmu modal insan dan pelajar sebagai penuntut ilmu. Masyarakat dari gologan remaja yang sedang membentuk jati diri dengan sifat berani, bersemangat tinggi dan menghormati guru.


Pesanan saya, drama Surat untuk Ina ini amat sesuai jika dilakonkan di kelas sewaktu jadual waktu 2 masa kerana kamu sebagai pelajar akan merasa seronok dengan melakonkan watak-watak di dalam drama ini kerana drama ini memang sesuai buat kamu yang baru memasuki alam sekolah menengah. Saya sendiri meminta pelajar melakonkan drama ini dan pelajar saya begitu gembira apabila diberi peluang berlakon dan mereka berlumba-lumba untuk berlakon. Bila kamu melakonkan drama, kamu telah mengunakan kemahiran berkomunikasi dengan rakan dan lebih berani bercakap di depan rakan-rakan kamu. Usah malu mencuba. Jangan lupa baca dan fahami drama ini dan cuba membuat sendiri sinopsis/ringkasan drama kerana sinopsis itu dapat membantu kamu. Jumpa lagi.

Thursday, March 10, 2011

Contoh soalan novel Sukar Membawa Tuah (1)



Berdasarkan novel Sukar membawa Tuah yang telah anda kaji dalam Tingkatan 1, nyatakan tiga nilai murni watak utama beserta dengan contohnya.


Cara menjawab soalan ini adalah lihat dahulu kata kuncinya iaitu tiga nilai murni watak utama beserta contohnya pada soalan. Maka soalan berkehendakkan kamu menjawab tiga nilai murni yang ada pada diri Adit berserta contoh peristiwa yang boleh menyokong nilai murni watak. Tidak salah jika kamu menjawab secara berperenggan kerana ia lebih tersusun. Setiap perenggan kamu berikan satu nilai murni yang Adit miliki beserta contoh yang sesuai. Cikgu beri contoh untuk perenggan pertama.



Berdasarkan novel Sukar Membawa Tuah karya (nama penulis novel ini) yang telah saya kaji, tiga nilai murni yang dimiliki oleh watak utama ialah mempunyai kesabaran yang tinggi, cekal dan tabah dalam mengharungi hidup dan bercita-cita tinggi. Nilai murni yang pertama ialah Adit mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menempuhi kehidupannya. Usaha Adit memujuk Pak Katan dengan sabar untuk bersekolah di Pekan dan mengejar cita-cita seperti sahabatnya Akeh tercapai apabila ayahnya membenarkan Adit bersekolah. Pak Katan ingin Adit mewarisi pekerjaan nenek moyang mereka iaitu mengutip hasil hutan tetapi demi masa depan yang lebih cerah, Pak Katan telah mendaftarkan Adit ke sekolah walaupun Adit agak ketinggalan pelajaran dari pelajar lain.

Kedua, Adit memiliki sifat tabah dalam mengharungi hidup sebelum berjaya dalam ...................


Selamat membaca dan selamat menjawab.

Wednesday, March 9, 2011

PANTUN DUA KERAT (nasihat)



Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.


Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.


Pecah kaca pecah gelas,
Sudah baca harap balas.


Cukuplah tiga rangkap pantun dua kerat (nasihat) buat kamu. Sambungannya boleh kamu baca sendiri dalam buku antologi Kasut Kelopak Jantung. Saya hanya memberikan sedikit contoh iaitu bentuk rima dalam pantun ini ialah aa. Cuba lihat setiap rangkap :

Rangkap pertama ii = aa
Rangkap kedua gg = aa
Rangkap ketiga ss = aa


Maka bentuk rima setiap rangkap ialah aa.


Pantun merupakan sebuah puisi tradisional tinggalan nenek moyang kita. Selamat membaca dan selamat mempelajarinya.

Monday, March 7, 2011

Nasihat saya : Jangan malu bertanya pada guru dan rakan-rakan

Jika kita tidak faham mengenai pelajaran pada hari tersebut maka jangan berlengah-lengah, bertanyalah rakan-rakan yang cepat menangkap pelajaran hari itu. Jika kita malu bertanya rakan, maka tanyalah guru yang dapat membantu kamu. Jangan berdiam diri tetapi teruskan usaha mempelajarinya. Ingat peribahasa ini "malu bertanya, sesat jalan". Setidak tidaknya kita cuba fahami melalui buku nota kita.

Friday, March 4, 2011

BAB 5 SUKAR MEMBAWA TUAH : Riak Ceria Buat Adit





Adit masih merasa risau dengan masalah yang dihadapinya. Walaupun ayahnya sudah bersetuju untuk membenarkan Adit bersekolah seperti rakannya Akeh yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera, kini timbul masalah tiada kekosongan asrama di sekolah. Malam itu hujan turun dengan lebatnya dan menyebabkan tempias hujan memasuki rumahnya. Pak katan dan Adit berusaha menutup dinding rumah yang beratapkan rumbia itu dari tempias hujan,. Keesokan pagi, Adit terdengar bunyi asing di bawah rumah dan kemudian menjumpai seekor rusa betina yang patah kaki. Barangkali rusa itu di bawa oleh arus deras hujan pada malam semalam. Pak Katan menjual rusa itu kepada tauke Cina tempat mereka menjual hasil hutan iaitu Ah Tong. Ah Tong membelinya dengan harga enam ratus ringgit. Kemudian Ah Tong bertanya kepada Adit tentang pendaftarannya ke sekolah, Adit memberitahu pekara yang sebenar.

Ah Tong ingin membantu Adit dan sanggup untuk menghantar dan mengambil Adit dari sekolah kerana dia sentiasa berulang-alik dari pekan ke perkampungan asli Bukit Lokan iaitu tempat Adit menetap, alangkah gembiranya hati Adit di atas pertolongan Ah Tong. Ah Tong akan menyelesaikan masalah pengangkutan Adit ke sekolah. Kini harapan Adit untuk ke sekolah sudah menjadi kenyataan asalkan Adit sanggup menaiki lori milik Ah Tong. Air mata Adit mengalir penuh ceria.

Wednesday, March 2, 2011

SIMILE


Agak keliru dengan perkataan SIMILE ini. Ia merupakan tiga suku kata iaitu si/mi/le. Jangan salah sebutan dengan sebutan dalam Bahasa Inggeris. Simile merupakan salah satu unsur gaya bahasa dalam komponen sastera. Simile merupakan perbandingan yang jelas dengan menggunakan kata-kata seperti,bak,umpama,bagai dan ibarat. Gaya bahasa Simile ini telah keluar dalam PMR 2010. Cubalah kamu selak kertas 1 Bahasa Melayu PMR 2010, kamu akan berjumpa peribahasa "IBARAT MELUKUT DI TEPI GANTANG". Jika kamu lihat pada peribahasa ini, jelas bahawa ayat tersebut adalah perumpamaan. Maka, "IBARAT MELUKUT DI TEPI GANTANG" mempunyai dua gaya bahasa iaitu perumpamaan dan simile.

Tuesday, March 1, 2011

Gema Sepi Gadis Genius


Antologi tingkatan 2 yang mula digunakan pada tahun ini mengantikan SEUNTAI KATA UNTUK DIRASA. Saya juga masih baru mengenali buku ini dan belajar bersama kamu. InsyaAllah sedikit masa lagi saya akan membentangkan ulasan Antologi Gema Sepi Gadis Genius buat pelajar tingkatan 2 sesi 2011 dan seangkatannya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...