Thursday, March 10, 2011

Contoh soalan novel Sukar Membawa Tuah (1)



Berdasarkan novel Sukar membawa Tuah yang telah anda kaji dalam Tingkatan 1, nyatakan tiga nilai murni watak utama beserta dengan contohnya.


Cara menjawab soalan ini adalah lihat dahulu kata kuncinya iaitu tiga nilai murni watak utama beserta contohnya pada soalan. Maka soalan berkehendakkan kamu menjawab tiga nilai murni yang ada pada diri Adit berserta contoh peristiwa yang boleh menyokong nilai murni watak. Tidak salah jika kamu menjawab secara berperenggan kerana ia lebih tersusun. Setiap perenggan kamu berikan satu nilai murni yang Adit miliki beserta contoh yang sesuai. Cikgu beri contoh untuk perenggan pertama.



Berdasarkan novel Sukar Membawa Tuah karya (nama penulis novel ini) yang telah saya kaji, tiga nilai murni yang dimiliki oleh watak utama ialah mempunyai kesabaran yang tinggi, cekal dan tabah dalam mengharungi hidup dan bercita-cita tinggi. Nilai murni yang pertama ialah Adit mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menempuhi kehidupannya. Usaha Adit memujuk Pak Katan dengan sabar untuk bersekolah di Pekan dan mengejar cita-cita seperti sahabatnya Akeh tercapai apabila ayahnya membenarkan Adit bersekolah. Pak Katan ingin Adit mewarisi pekerjaan nenek moyang mereka iaitu mengutip hasil hutan tetapi demi masa depan yang lebih cerah, Pak Katan telah mendaftarkan Adit ke sekolah walaupun Adit agak ketinggalan pelajaran dari pelajar lain.

Kedua, Adit memiliki sifat tabah dalam mengharungi hidup sebelum berjaya dalam ...................


Selamat membaca dan selamat menjawab.

Wednesday, March 9, 2011

PANTUN DUA KERAT (nasihat)



Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.


Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.


Pecah kaca pecah gelas,
Sudah baca harap balas.


Cukuplah tiga rangkap pantun dua kerat (nasihat) buat kamu. Sambungannya boleh kamu baca sendiri dalam buku antologi Kasut Kelopak Jantung. Saya hanya memberikan sedikit contoh iaitu bentuk rima dalam pantun ini ialah aa. Cuba lihat setiap rangkap :

Rangkap pertama ii = aa
Rangkap kedua gg = aa
Rangkap ketiga ss = aa


Maka bentuk rima setiap rangkap ialah aa.


Pantun merupakan sebuah puisi tradisional tinggalan nenek moyang kita. Selamat membaca dan selamat mempelajarinya.

Monday, March 7, 2011

Nasihat saya : Jangan malu bertanya pada guru dan rakan-rakan

Jika kita tidak faham mengenai pelajaran pada hari tersebut maka jangan berlengah-lengah, bertanyalah rakan-rakan yang cepat menangkap pelajaran hari itu. Jika kita malu bertanya rakan, maka tanyalah guru yang dapat membantu kamu. Jangan berdiam diri tetapi teruskan usaha mempelajarinya. Ingat peribahasa ini "malu bertanya, sesat jalan". Setidak tidaknya kita cuba fahami melalui buku nota kita.

Friday, March 4, 2011

BAB 5 SUKAR MEMBAWA TUAH : Riak Ceria Buat Adit





Adit masih merasa risau dengan masalah yang dihadapinya. Walaupun ayahnya sudah bersetuju untuk membenarkan Adit bersekolah seperti rakannya Akeh yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera, kini timbul masalah tiada kekosongan asrama di sekolah. Malam itu hujan turun dengan lebatnya dan menyebabkan tempias hujan memasuki rumahnya. Pak katan dan Adit berusaha menutup dinding rumah yang beratapkan rumbia itu dari tempias hujan,. Keesokan pagi, Adit terdengar bunyi asing di bawah rumah dan kemudian menjumpai seekor rusa betina yang patah kaki. Barangkali rusa itu di bawa oleh arus deras hujan pada malam semalam. Pak Katan menjual rusa itu kepada tauke Cina tempat mereka menjual hasil hutan iaitu Ah Tong. Ah Tong membelinya dengan harga enam ratus ringgit. Kemudian Ah Tong bertanya kepada Adit tentang pendaftarannya ke sekolah, Adit memberitahu pekara yang sebenar.

Ah Tong ingin membantu Adit dan sanggup untuk menghantar dan mengambil Adit dari sekolah kerana dia sentiasa berulang-alik dari pekan ke perkampungan asli Bukit Lokan iaitu tempat Adit menetap, alangkah gembiranya hati Adit di atas pertolongan Ah Tong. Ah Tong akan menyelesaikan masalah pengangkutan Adit ke sekolah. Kini harapan Adit untuk ke sekolah sudah menjadi kenyataan asalkan Adit sanggup menaiki lori milik Ah Tong. Air mata Adit mengalir penuh ceria.

Wednesday, March 2, 2011

SIMILE


Agak keliru dengan perkataan SIMILE ini. Ia merupakan tiga suku kata iaitu si/mi/le. Jangan salah sebutan dengan sebutan dalam Bahasa Inggeris. Simile merupakan salah satu unsur gaya bahasa dalam komponen sastera. Simile merupakan perbandingan yang jelas dengan menggunakan kata-kata seperti,bak,umpama,bagai dan ibarat. Gaya bahasa Simile ini telah keluar dalam PMR 2010. Cubalah kamu selak kertas 1 Bahasa Melayu PMR 2010, kamu akan berjumpa peribahasa "IBARAT MELUKUT DI TEPI GANTANG". Jika kamu lihat pada peribahasa ini, jelas bahawa ayat tersebut adalah perumpamaan. Maka, "IBARAT MELUKUT DI TEPI GANTANG" mempunyai dua gaya bahasa iaitu perumpamaan dan simile.

Tuesday, March 1, 2011

Gema Sepi Gadis Genius


Antologi tingkatan 2 yang mula digunakan pada tahun ini mengantikan SEUNTAI KATA UNTUK DIRASA. Saya juga masih baru mengenali buku ini dan belajar bersama kamu. InsyaAllah sedikit masa lagi saya akan membentangkan ulasan Antologi Gema Sepi Gadis Genius buat pelajar tingkatan 2 sesi 2011 dan seangkatannya.

Monday, February 28, 2011

DOA BELAJAR



Sebagai pelajar amalan membaca doa sebelum memulakan sesi pembelajaran adalah satu kebaikan buat diri sendiri. Saya sendiri meminta pelajar membaca doa sebelum memulakan pembelajaran. Walaupun ada di antara pelajar saya yang memperlekehkan bacaan doa dengan tidak memberikan perhatian sepenuhnya atas alasan saya cuma guru bahasa Melayu dan membuatkan hati saya terbakar menahan kesabaran sewaktu bacaan doa namun itu sudah menjadi amalan saya untuk semua kelas yang saya mengajar. Yang nakal memang kena sepiat dua. Biasalah budak-budak.

Jika kamu ingin berjaya di dunia dan di akhirat kamu perlu belajar keduanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...